Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 7 June 2012

Hukum Cukur Rambut Dan Cukur Jambul Bayi

Mencukur rambut bayi adalah sesuatu yang disunatkan oleh Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap bayi tergadai dengan akikahnya, disembelih untuknya pada hari ketujuh, dicukur rambutnya dan diberi nama.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2838]

 Tujuan mencukur rambut adalah untuk membersihkan selaput kepalanya dan agar rambut yang baru lagi sihat dapat tumbuh. Oleh kerana itulah dalam riwayat yang lain, mencukur rambut juga disebut sebagai “bersihkan kotoran”, yakni hadis:“Bersama seorang anak satu akikah, maka tumpahkan untuknya darah (yakni sembelihan akikah) dan bersihkan kotorannya (yakni mencukur rambut).” [Shahih al-Bukhari, no: 5472, Fath al-Bari, jld. 27, ms. 24]

Mencukur rambut disunatkan ke atas bayi lelaki dan perempuan, dan sunat dilakukan pada hari ketujuh selepas kelahirannya. Malang sekali, ramai ibubapa masa kini yang menyayangi bayi mereka dengan cara yang salah, mereka menyayangi rambut bayi mereka sehingga membelakangkan anugerah pahala dan rahmat daripada Allah s.w.t.. Justeru mereka menggantikan suruhan mencukur rambut bayi yang sunat hukumnya kepada majlis cukur jambul.

Mencukur jambul bayi hukumnya makruh, kerana ia sejenis “qaza” yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. [Shahih al-Bukhari, no: 5920] “Qaza” ialah mencukur sebahagian rambut di mana-mana bahagian kepala sementara di bahagian lain rambut dibiarkan [Fath al-Bari, jld. 28, ms. 832]. “Qaza” dilarang kerana ia mencacatkan  kepala seseorang – termasuk kepala bayi – dan ia menyerupai fesyen sebahagian orang bukan Islam. Sekalipun hukumnya makruh, mana-mana ibubapa yang beriman kepada Allah lagi mengharapkan keredhaan-Nya akan berusaha menjauhi sesuatu yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w.. Selain itu ada juga ibubapa yang sekadar menggunting beberapa helai rambut bayi. Praktik ini tidak memiliki apa-apa manfaat sama ada dari sudut agama mahu pun selainnya.

Adapun melaksanakan majlis sempena cukur jambul, maka yang sepatutnya dilaksanakan ialah majlis akikah. Majlis akikah membuktikan kesyukuran kepada Allah atas bayi yang dianugerahkan-Nya, pengumuman kepada jiran-jiran akan kelahiran anak yang baru dan persediaan awal bahawa bayi itu akan dididik menjadi hamba yang berkorban untuk kebaikan agama dan umat. Majlis akikah dengan sendirinya adalah satu bentuk ibadah, maka ia tidak perlu diubah-suai dengan ibadah-ibadah lain seperti membaca surah Yasin, zikir-zikir, doa selamat dan sebagainya. Walaubagaimanapun majlis akikah hukumnya sunat, maka mana-mana ibubapa yang tidak mampu tidak dituntut melaksanakannya.

0 comments:

Post a Comment